Ad Code

Makan Unlimited Selama Dua Jam Di Atok Grill & Steamboat Jalan Kebun

Satu 'genre' makanan yang agak popular dalam 'wishlist' penulis apabila ingin memuaskan nafsu makan dalam kuantiti yang agak banyak adalah steamboat dan grill.

Atok Grill n Steamboat Jalan Kebun
Atok Grill n Steamboat Jalan Kebun


Dengan konsep 'buffet' dimana dengan sekali bayaran anda boleh mendapatkan bahan mentah dan kondimen yang disediakan dan makan sepuasnya. Berbanding acara 'buffet' di hotel yang telah siap makanannya, steamboat and grill agak berlainan.


Buffet Masak Sendiri

Lebih kepada kebebasan pelanggan dalam menyediakan makanan sendiri tidak terikat dengan satu atau dua cara masakan sahaja. Inilah keistimewaan steamboat and grill yang jarang penulis tolak jika dipelawa.

Set Masak Sendiri
Set Masak Sendiri


Atok Grill & Steamboat Jalan Kebun

Sudah banyak kedai steamboat and grill pernah penulis kunjungi di sekitar pinggir Shah Alam bersempadan dengan Banting dan sedikit daerah Klang ini. 

Atok Grill Steamboat Depan
Atok Grill Steamboat Depan


Namun, terdapat satu lagi kedai dengan konsep steamboat and grill di Jalan Kebun Shah Alam Selangor yang boleh dijadikan alternatif kepada lambakkan kedai makan steamboat and grill di sekitar.

Luas dan Teratur
Luas dan Teratur


Nama kedai makan steamboat and grill penulis maksudkan adalah Atok Grill & Steamboat Jalan Kebun.

Dapur Grill dan Steamboat yang Digunakan

Menggunakan dapur steamboat and grill pada saiz kecil yang mampu menampung tiga orang untuk digunakan dalam satu masa. Dapur yang digunakan adalah dapur 'single' yang biasa dibawa ketika berkhemah (camping) dengan janaan haba dari satu tin gas yang boleh dibeli di mana-mana kedai. 

Steamboat n Grill
Steamboat n Grill


Tidak menggunakan tong gas yang bersaiz 14kg sepertimana yang biasa dilihat dirumah. Agak 'portable'.

Dapur Grill n Steamboat
Dapur Grill n Steamboat


Jenis Menu Makanan yang Ada

Dari segi menu yang ada di Atok Steamboat n Grill dengan tempat-tempat lain tidak banyak bezanya. Daging ayam, daging lembu, daging kambing adalah antara kondimen utama untuk panggang (grill). Bezanya adalah perapan yang disediakan kepada kondimen tersebut.

Daging Grill
Daging Grill


Perapan 'barbecue' (bbq), sos lada hitam dan sos korea adalah perapan yang digunakan pada daging ayam, lembu dan kambing yang dihiris halus.

Pilihan Daging Grill
Pilihan Daging Grill


Kuah Tom Yam dan Kuah Oden

Bagi bahagian 'steamboat' yang memerlukan kuah untuk diselami oleh kondimen berupa bebola-bebola tepung, dua jenis kuah disediakan. Kuah oden dan kuah tom yam akan dituang ke dalam satu mangkuk besi dengan saiz sederhana sebagai perisa di Atok Steamboat and Grill ini.

Kuah Steamboat
Kuah Steamboat


Pada asasnya, tiada banyak perbezaan yang dapat dirasai dari dua jenis kuah ini, cuma untuk kuah oden, rasa rempah dan kepedasannya agak lebih berbanding kuah tom yam yang ada. Pelanggan diberikan hak untuk memilih mana-mana kuah, dan untuk isian semula masih kebebasan memilih mana-mana kuah.

Bebola untuk Steamboat
Bebola untuk Steamboat


Makanan 'Berat' yang Disediakan

Terdapat makanan berat yang akan disediakan sebagai alas perut. Dari pengalaman antara hidangan yang agak berat yang disediakan adalah;

Nasi Minyak Lauk Ayam
Nasi Minyak Lauk Ayam


1. Nasi minyak

2. Nasi goreng

3. Mi goreng

4. Kue tiau goreng

Berdasarkan pengalaman dua kali di Atok Grill & Steamboat ini juga, penulis mendapati apabila menu ini habis, tidak ada lagi penambahan menu sama, akan tetapi akan dihidangkan menu lain pula. Contoh, apabila kehabisan nasi goreng, akan digantikan dengan mi goreng.

Jenis Makanan Laut yang Ada

Bagi penulis, makanan laut agak menarik jika dilihat terapung-apung di dalam kuah tom yam atau kuah oden, maka disini terdapat juga makanan laut mentah disediakan namun tidaklah begitu meriah. Apa yang penulis perhatikan antara jenis kondimen dari laut adalah;

Makanan Laut Steamboat
Makanan Laut Steamboat


1. Udang (saiz umpan ikan gelama)

2. Kerang

3. Tentakel sotong kurita

4. Kepah

Setakat kehadiran penulis, belum pernah terserempak atau terlihat kehadiran ketam atau ikan pada dulang pilihan kondimen steamboat dan grill.

Kehadiran Benda Hijau, Sayuran dan Ulaman

Bagi pencinta sayuran dan ulaman, terdapat satu ruangan di penjuru bahagian pengambilan bahan mentah disediakan sayuran seperti salad, cendawan, tomato dan beberapa sayuran lain seperti kobis.

Sayuran Steamboat
Sayuran Steamboat


Agak mendukacitakan kepada penggemar daging balut salad seperti penulis apabila tiada disediakan salad yang tipikal yang biasa dilihat yang memiliki ropol-ropol dihujungnya dengan saiz yang mampu dibuat balutan dengan daging atau ayam panggang.

Ulaman
Ulaman


Perihal Sos dan Cicahan yang Ada

Bagi yang gemarkan menikmati makanan panggan dengan sos, jangan khuatir atau risau terdapat beberapa pilihan sos yang ada. Dari pengamatan penulis antara sos yang disediakan adalah

1. Sos BBQ

2. Sos Lada Hitam

3. Sos Cili Thai

4. Sos Thousand Island

Tiada sebarang keistimewaan atau keunikan dari sos yang disediakan, memandangkan semua sos ini adalah belian dari runcitan atau pasar raya. Jika anda mengimpikan sos buatan sendiri atau cicahan versi 'homemade', boleh mula lupakan.

Air Balang Pelbagai Perisa

Menghuni 70% litupannya di bumi, air merupakan asas kehidupan. Apalagi apabila dibancuh dengan kordial atau perisa menambahkan lagi kecintaan umat manusia kepada air untuk diminum.Air minuman yang disediakan di Atok Steamboat and Grill adalah dalam tema air balang. 

Jenis Air Minuman
Jenis Air Minuman


Antara perisa yang berjaya penulis nikmati adalah;

1. Kordial Anggur

2. Kordia Oren

3. Kordial Tebu (artifisial)

4. Kordial Laici

5. Teh o Panas (yang gagal pernah diisi semula)

6. Air kosong

Semuanya adalah kordial air balas, bebas sebarang susu isian pekat digunakan. Tiada sebarang air bersusu boleh ditemui. Namun, air kodial berais memang akan cepat habis.Selain dari dahaga, kemasinan yang agak melampau pada perapan daging serta tahap garam yang ada dalam kuah oden dan tom yam mampu menambahkan lagi kadar kehabisan air balang ini.

Pencuci Mulut dan Pemanis Mulut

Jika perut sudah penuh dan ingin 'mencuci mulut' dalam keadaan suasana di Siberia, terdapat aiskrim disediakan. Beberapa jenis aiskrim yang ada adalah seperti;

Aiskrim Berperisa
Aiskrim Berperisa


1. Askrim Vanilla

2. Aiskrim Coklat

3. Aiskrim Strawaberry

4. Aiskrim Pudina

Jika anda ingin kembali semula 'mencuci mulut' dalam versi Malaysia, terdapat kuih muih disediakan seperti;

Kuih Muih
Kuih Muih


1. Agar-agar (belende)

2. Kek

3. Kuih muih (biasa ditemui di bazar ramadan)

Jika ada bubur kacang, atau pengat pisang pasti lebih 'surrr' bagi penulis.

Perihal Suasana Atok Grill & Steamboat

Suasana memainkan sedikit enzim untuk menambah selera apabila di kedai makan. Oleh kerana dahulunya ia sebuah 'nursery' tumbuhan, walaupun setelah bertukar menjadi kedai makan ia masih menerapkan nilai-nilai seni berat alam semulajadi.

Atok Grill Steamboat  Suasana
Atok Grill Steamboat  Suasana


Terdapat tumbuhan di sekitar kedai, di bahagian hadapan, dan dipenjuru kanan kedai membangkitkan sedikit seni berat untuk mata menikmati suasana.

Nah! Apalagi apabila waktu malam, pengcahayaan yang mungkin terinspirasi sedikit dengan pesta lampu di Putrajaya atau Maeps Serdang. Hiasan lampu tidak kira yang tergantung atau yang berselerakan di 'lantai' baru kerikil, cukup memberikan 'suasano'.

Fasiliti dan Kelengkapan yang Ada

Fasiliti dan kelengkapan juga lengkap. Jika ingin solat maghrib atau isyak memandangkan kedai makan ini beroperasi di malam hari, terdapat ruangan solat yang agak luas. Dengan disediakan paip air untuk wuduk. 

Surau Disediakan
Surau Disediakan


Sinki juga banyak, apa yang pasti cecair pencuci tangan tidak ditambah air, itu adalah 'rare' untuk kedai masa kini. Tisu banyak disediakan pada tiang-tiang 'beam' channel yang memberikan keutuhan kepada kedai ini.

Ulasan Penulis

Dari segi rasa perapan tiada sebarang rasa yang unik, rasanya hanya biasa dan mungkin boleh sahaja dibuat dirumah.

Kebanyakan kondimen dan menu yang terhidang adalah hasil belian runcit. Sejujurnya, tiada sebarang rasa unik, seperti sosnya sedap ataupun perapannya sedap. Untuk kekenyangan sehingga bersandar, itu 'result' akhir.

Untuk kali kedua (ramadan buffet) terdapat sedikit rasa masam pada bebola yang disediakan. Makanan yang habis juga diganti dengan makanan lain bukannya makanan yang awalnya disediakan.

Dari segi harga, ia masih dalam 'radar' kedai grill dan steamboat, namun penulis pernah menikmati buffet steamboat dan grill dengan harga RM23. Jadi harga RM30, mungkin masih berpautan untuk makan secara 'unlimited'.

Staf dan pekerja cukup cekap, apabila tin gas habis terus datang tukar, isian semula kuah juga efisien agak pantas, namun, antara oden dan tom yam tiada sebarang pertanyaan yang mana pilihan untuk isian semula.

Informasi Pengunjung

Lokasi Restoran

Terletak di Jalan Batu 7 Jalan Kebun iaitu antara Jalan Hj Taib dan Jalan Abdullah. Berhadapan dengan Durian Atok Jalan Kebun. Google Maps jika boikot Waze yang juga ada infonya.

Atok Grill & Steamboat

Lot 3692,

Jalan Kampung Batu 7, 

Jln Kebun Tambahan, Jalan Kebun, 

40460 Shah Alam, Selangor

Harga Makanan

Dewasa : RM30

Kanak-Kanak : RM18

Kanak-Kanak (bawah 5 tahun): Percuma

Harga Makanan
Harga Makanan


Waktu Operasi

Dibuka setiap hari bermula jam 5.30 petang hingga 11.30 malam.

Kemudahan/Fasiliti

Kerusi Baby

Surau

Tandas

Cara Bayaran

Tunai

QR Duitnow


(sebelum duduk dan makan, anda diperlukan untuk membuat bayaran terdahulu)

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. byknye pilihan tapi tu la fishball masam pula ye. nampak sedap kuah oden semua tu

    BalasPadam