Ad Code

Nasi Nanas Ayam Pandan, Fillet Dory Bersos Thai Dengan Kerabu Mangga Mr Tuk Tuk Gamuda Walk Kota Kemuning

Mr Tuk Tuk bukanlah satu restoran Thailand yang agak asing bagi penulis. Mr Tuk Tuk adalah satu kedai tom yam Thai dalam kategori tahap tinggi sedikit berbanding kedai tom yam lampu kalimantang warna-wani tepi jalan yang biasa ditemui.

Nasi Nanas Ayam Pandan Mr Tuk Tuk
Nasi Nanas Ayam Pandan Mr Tuk Tuk


Walaupun tiada lampu warna-warni ala kedai tom yam, Mr Tuk Tuk memiliki mercu tandanya sendiri iaitu sepertimana namanya, tersergam indah kenderaan tipikal di Thailand iaitu tuk tuk dihadapan premis restoran.


Apabila berkunjung untuk mengisi perut di Mr Tuk Tuk, penulis biasanya akan memesan satu menu yang sering penulis makan di Mr Tuk Tuk jika ketiadaan idea untuk memilih menu lain di dalam senarai menu makanan Mr Tuk Tuk.

Kondimen Dalam Menu Nasi Ayam Pandan Mr Tuk Tuk

Satu menu nasi dengan lauk bersama kondimen variasi perisa makanan Thailand dalam menu yang dinamakan Nasi Ayam Pandan

Kondimen Dalam Nasi Nanas Ayam Pandan
Kondimen Dalam Nasi Nanas Ayam Pandan


Antara kondimen yang ada dalam set menu nasi ayam pandan Mr Tuk Tuk ini adalah;

1. Nasi Goreng Nanas

2. Ayam Pandan

3. Ikan Dory Bersos Cili Thai

4. Kerabu Mangga

Kondimen-kondimen yang ada ini didatangkan dalam satu pinggan hijau lumut yang agak 'trademark' untuk hidangan ini. Dalam porsi yang tidaklah begitu banyak pinggan ini umpama cantuman mangkuk untuk terisi setiap kondimen yang membentuk menu ini.

Nasi Nanas dan Kekacang Bertelur

Dalam porsi semangkuk kuah sup biasa tersedia satu hidangan nasi yang boleh dikatakan sebagai nasi goreng, atau nasi yang digaul dengan pelbagai jenis bahan lain.

Nasi Nanas Mr Tuk Tuk
Nasi Nanas Mr Tuk Tuk


Hadir dalam warna kuning, seumpama nasi goreng kunyit atau nasi yang digaul bersama rencah hasil minyak semalam, dari segi warna.

Apa yang diperhatikan terdapat ketulan nanas, cebisan telur dalam nasi goreng, dan kekacang seperti kacang tanah.

Makan nasi ini sahaja sudah agak ada rasanya, sebab itulah penulis mengatakan ini adalah nasi goreng. Sudah tersedia rasanya dengan nanas yang membangkitkan rasa masam dan keranggupan tiba-tiba apabila tergigit badam.

Melengkapkan lagi bahawa inilah nasi goreng, terdapat isi udang yang bertempel segar di dinding nasi yang agak lembut kekuningan ini.

Ayam  Berbalut Daun Pandan

Merupakan lauk utama untuk menu ini. Dua ketul isi ayam yang berbalut dengan daun pandan. 

Ayam Pandan Mr Tuk Tuk
Ayam Pandan Mr Tuk Tuk


Balutan ini digoreng secara 'deep fry' sehingga warnanya menghala ke arah mendung kelabu dengan sedikit warna seperti selepas dipanggang.

Dari segi rasa tidaklah begitu menyerlah. Namun, ada sedikit rasa perapan padanya bukan sekadar isi ayam yang digoreng. Secara langsungnya, aroma pandan tidaklah sekuat pada namanya. Diselaputi minyak mungkin menghalang ayam ini beraroma pandan yang sepatutnya.

Apa yang pasti, balutan isi ayam ini digoreng bersama daun kari.Bukan sekadar dimasak ala kadar, bijian bijan jelas kelihatan melekat di bahagian isi ayam.

Kepingan Fillet Isi Dory Bersos Thai

Merupakan watak lauk kedua dalm set menu ini. Isi ikan dory yang digoreng sehingga warnanya seperti warna nugget ayam yang tipikal. Dicurahkan sos bewarna merah diatas ikan dory goreng ini.

Ikan Dori Sos Thai
Ikan Dori Sos Thai


Teksturnya cukup lembut walau garing diluar. Helah dalam kondimen ini adalah sosnya. Pada awalnya terasa manis namun lama kelamaan terasa pedasnya secara berkala, perlahan-lahan.

Bagi penulis, ikan dory yang garing dan lembut ini bersama sos tersebut agak akrab apabila bersatu.

Kerabu Mangga

Impresi pertama sudah tahu ia merupakan kerabu mangga. Dengan tekstur hirisan yang agak cantik dan kemas seperti rambut yang baharu sahaja dikenakan 'pomade'.

Kerabu Mangga Mr Tuk Tuk
Kerabu Mangga Mr Tuk Tuk


Walaupun hanya beberapa sudu sahaja kerabu mangga yang berjaya ada di dalam set menu ini namun masih ada. Kelibat hirisan halus mangga dan potongan cili terendam gembira dalam kondimen berair.

Apabila mula dirasa tekstur mangga dan sedikit racikan timun serta bawang masih ranggup menandakan bahawa ia masih segar. Apalagi apabila keranggupan mereka ini dipedaskan dengan potongan cili yang masih hijau dan berpadu dengan rasa masam kuahnya.

Walaupun porsi yang sedikit, memang kerabu mangga yang asli ala Thai.

Ulasan Penulis

Kombinasi kondimen yang ada ini cukup sedap apabila bersatu dalam satu suapan. Dengan keranggupan, beraroma garing, apalagi kehadiran rasa masam dan pedas serta sensasi umami dalam satu suapan, cukup sedap rasanya.

Sesudu
Sesudu 


Selain dari tom yam, penulis merasakan ini adalah menu yang agak menarik untuk pemula yang mahu memulakan upacara mengisi perut di Mr Tuk Tuk

Dari segi harga, mungkin agak berpatutan untuk sebuah restoran Thai dengan menu 'signature' sebegini. Bukanlah untuk hidangan setiap hari, muak pasti berlaku.

Rating: 4.5/5.0

Informasi Pengunjung

Lokasi Restoran

Terletak di dalam Gamuda Walk Mall Kota Kemuning. Berada paling hujung di bahagian Ground Floor.Google Maps dan Waze boleh membantu.

Mr Tuk Tuk Gamuda Walk,

Kota Kemuning, 

40460 Shah Alam, 

Selangor

Harga Makanan

Nasi Nanas Ayam Pandan : RM25.90

Waktu Operasi

Dibuka setiap hari  bermula jam 11 pagi hingga 9 malam

Kemudahan/Fasiliti

Kerusi Baby

Cara Bayaran

Tunai

QR Duitnow

Paywave

Penghantaran Makanan

Foodpanda

Grabfood

Shopeefood/Bekal

Misi Rakyat

Hubungi

03-5525 3368

Catat Ulasan

2 Ulasan