Ad Code

Maggi Ketam Claypot Di Alemy Maggi Ketam Cherang Ruku Semerak Kelantan

Kawasan perairan dengan liputan pohon nipah yang mengelilingi sungai atau tali air adalah antara penempatan yang cukup diminati oleh ketam untuk didiami.

Maggi Ketam Alemy Semerak Kelantan
Maggi Ketam Alemy Semerak Kelantan


Kehadiran busut-busut separa betis disekitar adalah petanda lain wujudnya ketam nipah di kawasan tersebut. Permandangan sebegini tidak begitu asing bagi penulis apabila pulang ke kampung kerana kawasan penulis memang cukup hampir dengan pantai Laut China Selatan.


Menu Hidangan Ketam Sekitar Tok Bali Kelantan

Hidangan menu ketam sebagai lauk sudah tidak begitu pelik dan asing. Malahan pelbagai menu ketam yang boleh didapati di restoran, kedai makan atau warung makanan laut (seafood).

Di kawasan Tok Bali, Semerak Kelantan. Cukup mudah untuk mendapatkan menu hidangan ketam. 

Gulai, masak pedas, atau kam heong antara cara masakan ketam yang ada. Singgah sahaja restoran 'seafood' yang ada di sekitar sini.Akan tetapi, terdapat satu menu ketam yang agak popular dan perlu dicuba apabila sampai di kawasan Tok Bali dan Semerak Pasir Puteh Kelantan. 

Menu ketamnya tidaklah begitu rumit sehingga memerlukan perapan atau penggunaan santan. Hanya dengan menggabungkan mi dari mi segera (kebiasaannya maggi) dengan sup ketam.

Signboard Alemy Maggi Ketam
Signboard Alemy Maggi Ketam


Maka menu yang cuba penulis kongsikan kali ini yang ada di Tok Bali Pasir Puteh ini adalah Alemy Maggi Ketam.

Apa yang Ada Dalam Semangkuk Maggi Ketam Alemy

Hadir dalam satu periuk tanah liat (claypot) bersaiz sederhana dengan wap air hasil dari pemanasan sup dari kuali yang besar selepas jirusan ke dalam 'claypot'. Bagi impresi awal hanya kulit ketam yang jingga kemerahan kelihatan dari sudut pandang atas.

Porsi Maggi Ketam Alemy
Porsi Maggi Ketam Alemy

Apabila di ceduk terdapat beberapa jenis bahan yang yang bertapa di dalam 'claypot' yang sedang berwap ini. Beberapa ketulan ketam yang telah dipotong kepada empat bahagian.

Terdapat kehadiran seekor udang, serta telur yang dimasukkan ke dalam 'claypot' yang panas sehingga menjadi telur ala ala masak dan dalamnya juga ada beberapa bahan biasa ditemui dalam sup seperti sedikit sayuran, hirisan lada dan ulas bawang putih.

Apakah Rasa dan Ulasan Semangkuk Alemy Maggi Ketam

Mi dari mi segera (dipastikan jenama Maggi) menjadi penyumbang kepada karbohidrat untuk hidangan ini. Merupakan watak utama yang kurang didendangkan berbanding ketam tadi. 

Alemy Maggi Ketam SIde View
Alemy Maggi Ketam SIde View


Mi Maggi, ketam dan udang ini sedang berehat elok di dalam claypot dalam edisi berendam di dalam kuah sup.

Mi Maggi

Memang dari pengalaman yang pernah penulis lalui. Dengan rasa tekstur kenyal, tebal ini memang jurumasaknya menggunakan kepingan mi dari Maggi sebagai sumber karbohidrat dalam menu ini.

Dianggarkan dua keping mi dari jenama Maggi digunakan untuk satu hidangan. Mi dari Maggi sebenarnya agak mudah untuk kembang, penulis sarankan terus makan kerana berkemungkinan peluangnya untuk tidak lagi pejal adalah tinggi.

Ketam Nipah

Hero utama dalam menu ini mestinya adalah ketam yang ada di dalam Alemy Maggi Ketam. Kehadiran ketam dalam menu ini adalah motif penceritaan ulasan ini. Ketam yang digunakan adalah ketam nipah.

Porsi Ketam dan Udang Dalam Clyapot
Porsi Ketam dan Udang Dalam Clyapot


Ketam yang populasinya agak banyak di kawasan ini. Restoran ini juga berada di tepi sungai yang memungkinkan penangkapan ketam yang agak mudah atau ada ketam yang tersesat terus ke dapur masakan.

Saiznya tidaklah begitu besar, jika dicantumkan semula, saiznya sekitar saiz tapak tangan penulis. Ketam ini di potong empat, diasingkan segala sepit dan kaki kainya. Mengikut pihak kedai, saiz ini adalah saiz standard biasa, jika ada yang ingin cuba ketam yang bersaiz lebih besar boleh buat pilihan.

Ketam ini kelihatan direbus sebelum di jirus kuah sup. Dari kaedah ini kita boleh tahu adakah ketam digunakan masih segar. Tekstur isinya masih pejal, isi bahagian badannya masih melekat pada cengkerang menandakan ia masih segar. 

Pecahkan Ketam Dengan Pengepit
Pecahkan Ketam Dengan Pengepit


Isi pada sepit dan kakinya juga masih pejal dan keputihan. Tiada sebarang bau hancing atau tidak enak pada ketam adalah satu lagi cara kenalpasti bahawa ketam yang digunakan masih segar.

Kuah Sup

Tidak begitu istimewa sangat untuk digambarkan supnya. Bagi penulis seorang manusia biasa dan tidak memiliki deria rasa seperti pengkritik dalam Rattatouile, tiada sebarang rasa unik pada supnya.

Supnya lebih kepada sup dengan campuran bawang putih, sedikit MSG untuk kehadiran rasa umami pada lidah dan diletakkan serbuk perencah dari mi segera dalam kes ini mi Maggi.

Dari segi rasa, ia tidak tawar, ada rasanya dan tidak begitu kuat. Air dari bilasan ketam dan udang pastinya menyerlahkan rasa umami 'seafood' pada kuah sup Alemy Maggi Ketam ini.

Berbaloikah Harga Maggi Ketam Alemy 

Oleh kerana ketam adalah antara haiwan yang agak mahal harganya dalam pasaran. Penulis agak menjangkakan bahawa hidangan ini bukanlah harga yang boleh dinikmati setiap malam apalagi kerisauan akan penyakit gout.

Maggi Ketam Dalam Claypot
Maggi Ketam Dalam Claypot


Bagi ketam bersaiz biasa yang sebagaimana dicuba penulis, semangkuk Alemy Maggi Ketam berharga RM30 (akan bertambah mengikut saiz).

Pada masa yang sama penulis memesan tiga mangkuk Maggi Udang yang berharga RM10 setiap satu. Bagi penulis, jika inginkan rasa unik untuk RM30 tidak berbaloi, namun, jika anda peminat ketam dan ingin meratahnya dalam versi ketam segar dan kenikmatan, mungkin berbaloi.

Informasi Pengunjung

Lokasi Restoran

Agak sukar jika talian data anda agak perlahan kerana ia berada di ceruk kampung. Jika data laju Google Maps dan Waze mampu membantu anda. 

Secara mercu tandanya, bersebelahan dengan satu kunci air di Sungai Semerak, boleh masuk melalui simpang Bukit Peraksi Pasir Puteh Kelantan.

Alemy Maggi Ketam,

Kg Besar,

16700 Cherang Ruku, 

Pasir Puteh,

Kelantan


Harga Makanan

Maggi Ketam (Standard) : RM30/claypot

Waktu Operasi

Dibuka setiap hari dari jam 5 petang sehingga 2 pagi.

Kemudahan/Fasiliti

Kerusi Kanak-Kanak (agak terhad)

Tandas Awam

Surau

Cara Bayaran

Tunai

Debit kad (pin atau paywave)

Bank transfer

*Memandangkan pengeluar Maggi adalah penyokong zionist, penulis cadangkan untuk tukarkan mi tersebut dengan mi jenama yang lebih kurang kontroversi, seperti Mamee yang agak pejal atau Nu Mee Gardenia yang lebih lokal


Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. hahaha....satu keajaiban kalau ketam yang sesat dan boleh masuk dapur

    BalasPadam
    Balasan
    1. tu haiwan bakal ke syurga kalau berkorban demi protein manusia hehe

      Padam
  2. Tapi memang ketam atau kepiting itu mahaaal 😂. Jadi saya tak heran kalo pricey harganya, kecuali kalo di tempat daerah pesisir, barulah murah, itupun beli langsung dari nelayan 😄

    Agak masuk kampung pula ya bang. Mungkin susah saya nak temui kecuali ada teman daerah sana 😄

    BalasPadam
    Balasan
    1. pernah lihat di youtube kepiting di Indo lagi besar dan banyak pasti di sana lebih murah harganya...tidak mengapa jauh ke dalam kampung boleh guna waze atau google maps

      Padam