Ad Code

Roti Bakar Ayam Gulai Di Kedai Awe Telok Panglima Garang

Sarapan pagi biasanya untuk golongan marhaen seperti penulis hanya memerlukan sesuatu makanan yang mampu menjadi alas di perut supaya asid hidroklorik di dalam kantung perut tidak bersendirian.

Set Roti Bakar Gulai Ayam TPG
Set Roti Bakar Gulai Ayam TPG


Memadai sahaja dengan hidangan seperti roti canai yang nampak ringkas namun penuh dengan kalori. 


Tempat Makan Di Telok Panglima Garang

Pada suatu pagi di hari minggu penulis berjaya melalui kawasan yang kini kian berkembang di dalam jajahan Telok Panglima Garang iaitu Triana Tropicana Aman. 

Kedai Makan Awe TPG
Kedai Makan Awe TPG


Dicelahan rumah kedai yang berderet, kelihatan agak ramai orang sedang menikmati sarapan di sebuah kedai makan yang dinamakan Kedai Awe (bukan dalam inggeris, Awe dalam dialek Kelate).

Dari Roti Canai Kepada Roti Bakar

Terdetik di hati penulis untuk mencuba sarapan pagi disini setelah bertanyakan isteri apakah detikan hati penulis itu boleh direalisasikan.

Wow! Agak penuh dengan pelanggan, mujurlah ada pelanggan yang berhati mulia mempercepatkan sarapan mereka untuk memberi ruang kepada penulis sekeluarga untuk duduk. Jom kita sama-sama doakan mereka yang sebegini di kedai makan diberikan rezeki yang bertambah.

"roti cana, ado ?", tanya penulis kepada pekerja kedai yang sedang mengemaskan meja dalam 

pakaian ala-ala Bob Marley.

"ado, tapi keno tunggu la, lamo sikit", balasnya.

"Lamo ko, takpolah gapo lagi ado ?", penulis cuba mendapatkan cadangan dari pelayan.

"roti baka ado", cadangnya

"ok, bulihlah, so set roti bakar, balas penulis yakin.

"duo..duo", bini penulis mencelah.

"duo set, duo..", penulis muktamadkan pesanan.

Maka dalam beberapa minit hadirlah mustika dua set roti bakar yang akan dicuba buat pertama kalinya di Kedai Awe Telok Panglima Garang Banting.

Set Roti Bakar Gulai Ayam Kedai Awe

Menu hidangan ini hadir dalam set. Satu set hidangan roti bakar di kedai makan ini untuk sarapan pagi terdiri daripada dua keping roti dan satu kuah gulai dengan isi ayam.

Set Roti Bakar Gulai Ayam
Set Roti Bakar Gulai Ayam


Diletakkan di atas pinggan bersaiz sederhana manakala kuah gulai pula dalam mangkuk kecil yang biasa diletakkan kuah roti canai.

Roti Bakar

Roti bersaiz roti titab yang popular menjadi sarapan pagi. Dua keping roti ini diletakkan dalam pinggan untuk set roti bakar ini.

Roti Marjerin Bakar
Roti Marjerin Bakar


Rotinya sebelumnya disalut dengan marjerin (yang juga dipanggil planta) dibakar (lebih tepat dilayur) sehingga menghadirkan sedikit warna hitam hangus yang hadir di tepi roti. Bahagian tengah roti agak lembut kerana gagal menerima layuran dari api.

Tekstur keras di bahagian tepi dan lembut dibahagian tengah. Tiada kehadiran sebarang bahan lain padanya.

Kuah Kari Ayam

Tekaan penulis jurumasak menggunakan kuah dan lauk ayam gulai dari nasi berlauk yang sama dijual di kedai ini.

Kuah Gulai Kari Ayam
Kuah Gulai Kari Ayam


Pekat dan memang berperisa gulai santan kari dari Kelantan. Bagi cecahan pertama roti, kuah gulai ayam ini cukup cukup 'nice' tidak terlampau kuat rasanya atau kehadiran rasa yang kurang menyenangkan. 

Walaupun sudah digaul rata untuk bahagian akhir atau bahagian keladak bawahnya agak rasa masinnya, memang ia sesuai dengan nasi putih memandangkan ia memang rakan karib dalam nasi berlauk.

Beberapa ketul kehadiran isi ayam berjaya ditemui. Lembut dan mudah untuk dikepit dengan cebisan roti sebagai lauk.

Harga Banding Dengan Rasa dan Porsi

Satu set roti bakar di Kedai Awe Telok Panglima Garang ini diletakkan harganya bernilai RM5. Bagi penulis ia agak 'kasar sedikit'. Walaupun rasanya agak sedap, namun, ia sebagai alas perut. 

Alas perut dengan harga tersebut bukanlah sesuatu dalam kategori rahmah. Jika ada roti canai boleh pilih roti canai dahulu. Namun, jika untuk mencuba dan menikmati roti bakar dengan kuah gulai ayam nasi berlauk, RM5 mungkin masih berpatutan harganya.

Informasi Pengunjung

Lokasi Restoran

Terletak dalam deretan rumah kedai di Triana Tropicana Aman Telok Panglima Garang. Kedai Awe bersebelahan dengan kedai BubbleBee Telok Panglima Garang sebaris Manjaku dan Speedmart juga ada.

Jika ada data internet boleh gunakan Google Maps jika boikot Waze yang juga ada infonya.

Kedai Awe,

38-G, Jalan Aman Tiara 7, 

Bandar Tropicana Aman, 

42500 Telok Panglima Garang, 

Selangor

Harga Makanan

Set Roti Bakar : RM 5/set

Waktu Operasi

Dibuka setiap hari dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam.

Kemudahan/Fasiliti

Kerusi Kanak-Kanak

Tandas Awam

Wifi

Cara Bayaran

Tunai

Debit kad (pin atau paywave)

QR Duitnow

Touch n Go Ewallet

Bank transfer


Catat Ulasan

0 Ulasan